Friday 26 October 2012

01

Percukaian, Hak Pemilikan dan Pertembungan Fahaman
Catatan oleh El Ferdowsi, 26 Oktober 2012

“Banyok benda hok nok kena bayor.” Kata seorang penduduk kampung dalam loghat Terengganu, maksudnya terlalu banyak benda yang perlu dibayar. Keluhnya sambil peluh menitis, dia rancak memikul karung beras, bawang, tong-tong biskut. Tong-tong dan karung guni itu adalah lambang bebannya, dan dia tetap sahaja teguh melawan. Nun di satu sudut, motosikal buruknya hanya menanti untuk dibayar cukai jalan dan lesen. Peluhnya akan dibayar oleh majikan, namun, pendapatannya juga akan membayar segala “levy”—mula dari peluh dan air mata hinggalah tanah dan keranda, segalanya. Hidup ini berbayar bukan?

Dan bayaran tersebut untuk siapa? Rancak di ruang awam, bahawa setiap parti politik dalam memenangi hati rakyat sebolehnya menawarkan pelan-pelan yang sangat menarik minat seperti penurunan cukai, tarif, duti import-eksport dan sebagainya. Beberapa daripada benda tersebut adalah cukai jalan, cukai pendapatan dan sebagainya. Menaikkan cukai adalah strategi yang paling tidak popular untuk pemerintah. Hampir semua orang mahukan sesuatu yang percuma disediakan dari kerajaan, namun bukan semua yang ‘suka’ untuk membayar cukai. Kelakarnya, ada cogan kata lucu—yang mengatakan bahawa kita takkan terlepas daripada dua perkara. Satunya adalah kematian, dan satu lagi adalah cukai. Dan buat kali ini, kita akan berbalik kepada penghakiman kepada sistem percukaian. Atas dasar apa percukaian ini diterima?

Utilitarianisme dan hak semulajadi (natural rights) 

Jeremy Bentham menganggap idea berkenaan hak semulajadi adalah tidak munasabah, dan faham utilitarian secara amnya tidak sejajar dengan kepercayaan terhadap hak semulajadi. Misalnya, hak untuk menyimpan apa yang kamu usahakan (semestinya usaha secara jujur). Jika dengan mengambil daripada kamu apa yang kamu usahakan lalu mengagihkannya kepada orang yang lebih miskin berbanding kamu akan meningkatkan jumlah kebahagiaan, yakni sepertimana yang memang dianjurkan oleh utilitarian, sekaligus bakal menafikan hak alamiah yang kita miliki. Dalam kes tersebut, seakan menjadi seorang utilitarian bakal menafikan hak alami memandangkan untuk meningkatkan jumlah kebahagiaan. Namun, di sisi lain pula, ada masanya utilitarian juga mendakwa bahawa dengan mempertahankan hak semulajadi, kebahagiaan juga bakal wujud dengan lebih banyak. Sungguh sulit sebenarnya, apabila utilitarian ini bagaikan menghakimi kedua-dua keadaan (kerelevanan atau ketidakrelevanan hak semulajadi) atas dasar yang mana lebih mendatangkan jumlah kebahagiaan. Berbalik kepada idea yang pertama iaitu kemunasabahan, konsep mengambil apa yang kita usahakan secara jujur demi menambah jumlah bahagia ini telah menjustifikasikan konsep percukaian.

Cukai sebenarnya telah lama wujud, dan jika kita meneliti bagaimana percukaian dijalankan, maka kita boleh bermula pada zaman Mesir kuno lagi. Pengutip cukai yang dikenali sebagai scribes, akan menjalankan proses audit terhadap isi rumah—termasuklah minyak masak. Di Greek zaman dahulu kala, yakni Athen, cukai dipanggil sebagai eisphora, dikenakan terhadap semua orang untuk memperoleh dana dalam menanggung peperangan yang berlaku. Yang menariknya, segala cukai yang telah dibelanjakan, dapat diberikan kembali kepada rakyat mereka. Segala hasil pulangan atas perang itu turut dinikmati kembali oleh pembayar cukai, bertepatan dengan konsep ideal semakin tinggi cukai, semakin tinggi hasil pulangan (the higher the tax, the higher the revenue). Di empayar Rom, cukai import-eksport dikenali sebagai Portoria. Maharaja Augustus yang dianggap pakar strategi percukaian telah menukilkan suatu konsep cukai pewarisan (inheritance tax) untuk menjana dana persaraan yang akan diberikan kepada tentera Rom. Di England pada zaman lampau, selepas kejatuhan empayar Rom, kelompok monarki Saxons mengenakan cukai pada harta dan tanah yang dipanggil sebagai Danegeld. Entah siapa tahu bagaimana cukai mula-mula terbentuk, tetapi yang pastinya ia telah lama wujud, dan masih wujud sehingga sekarang. Fungsinya berjalan, bahkan sangat praktikal—lebih-lebih lagi dalam konsep pengagihan kembali kemewahan.


Bantahan daripada Austrian

Namun, apakah sistem percukaian ini bagus secara asasnya? Kritik yang paling hebat datangnya daripada kelompok sekolah ekonomi Austrian. Frank Chodorov, dalam bukunya yang bertajuk ‘Income Tax: The Root of All Evil’ menghuraikan bahawa cukai pendapatan adalah suatu bentuk kejahatan yang telah terbiasa dalam masyarakat—tulisnya; “Cukai pendapatan dan pewarisan bermakna penafian terhadap harta swasta (private property), dan ia berbeza prinsipnya daripada cukai-cukai yang lain.” Lantas, Amerika Syarikat telah menyaksikan suatu pindaan yang maha dahsyat atas perlembagaan-nya pada tahun 1913, yakni pindaan keenam belas—yang pendek kata telah melanggar satu-satunya hak pemilikan (right of property) di negara tersebut. Chodorov dengan pantas, tidak ragu-ragu untuk turut menyatakan bahawa ini adalah salah satu prinsip sosialisme, iaitu penafian terhadap hak pemilikan persendirian. Bentuk ulung sosialisme—katanya Chodorov, iaitu komunisme, adalah untuk meletakkan hak pemilikan itu atas nama negara. Ujarnya lagi, dek hak pemilikan kitalah, kita boleh melakukan apa sahaja terhadap harta benda kita. Kebebasan berdisposisi (Freedom of Disposition) adalah intisari kepada hak pemilikan. Simpulnya, campurtangan dalam kebebasan berdisposisi juga bermakna campurtangan dalam hak-hak kita dalam hidup ini. Akibat ‘rompakan’ sebegini, barangkali mengarah kepada kita untuk hilang motivasi dalam bekerja. Katakanlah ‘rompakan’ sebegini berterusan, yakni kita menjadi hamba—kerana kita tidak lagi punya hak untuk memiliki—makanya apa sahaja yang kita hasilkan adalah bukan milik kita, sebaliknya milik orang lain. Lalu apa bezanya kita dengan haiwan ternakan di kandang yang seakan menjadi aset? Tanpa motivasi, tanpa nafsu dan pacuan (drive), di mana kelompok sosialis menggunakan istilah ‘tamak’ dalam menggambarkan hasrat para peniaga, Chodorov mempersoalkan campurtangan kerajaan. Ini jelas dalam kata-katanya;

“Why expand my business, why work overtime when my increased income will leave me little for myself? It isn't worth it. That is the effect of the ability-to-pay doctrine.”

Jika tidak ada pertumbuhan ekonomi, makanya tidak akan ada pembangunan ekonomi. Kritikan dari Chodorov yang juga sebagai salah seorang penyanjung paling agung pasaran bebas benar-benar menjadi isi perdebatan yang berlangsung dengan kelompok penyanjung ekonomi terancang.



Tolak ketepi Chodorov buat seketika untuk diteliti pula kritikan daripada Hans-Hermann Hoppe dalam bukunya yang berjudul ‘Economics and Ethics of Private Property. Hoppe, yang mengambil memetik takrifan tentang percukaian daripada Treatise on Political Economy tulisan Jean Baptiste Say;

“Taxation is the transfer of a portion of the national products from the hands of individuals to those of the government, for the purpose of meeting public consumption or expenditure. Whatever be the denomination it bears, whether tax, contribution, duty, excise, custom, aid, subsidy, grant, or free gift, it is virtually a burden imposed upon individuals, either in a separate or corporate character, by the ruling power for the time being, for the purpose of supplying the consumption it may think proper to make at their expense; in short, an impost, in the literal sense.”

Say telah terang-terang mengatakan bahawa percukaian sememangnya mengarah kepada pemusnahan sebuah pembentukan harta dan kekayaan. (Perlu diingat, Hoppe juga mengakui keralatan Say dalam menganggap percukaian adalah bentuk serangan dan hukuman atas perolehan dan penghasilan harta yang seterusnya menyebabkan berkurangnya pembentukan kekayaan dalam bentuk harta dan menurunkan piawaian am taraf hidup.)


Jawapan kelompok sosialis

Oleh kerana setiap individu dianggap sebagai sebuah kelompok, dipanggil sebagai masyarakat—makanya kita tidak terlepas daripada punya tanggungjawab. Hak dan tanggungjawab adalah datang sekali, seperti sekeping syiling yang mempunyai dua belah muka—satunya hak, dan satunya lagi adalah tanggungjawab. Mereka yang tidak perlu bertanggungjawab adalah mereka yang tidak memiliki apa-apa hak. Dan kenapa tanggungjawab ini wujud ? Mudah, tanggungjawab wujud sebagaimana hak wujud –dan kenapa hak wujud, barangkali kita tidak perlu persoalkan lebih lanjut dalam perbincangan ini (kerana kita mahu terus kepada perihal tanggungjawab).

Peri-pentingnya tanggungjawab ini boleh difahami dalam tulisan Alexander Berkman yang bertajuk Now and After: ABC of Communist Anarchism. Berkman menarik minat dalam teksnya dengan mengemukakan persoalan cliche, iaitu kenapa kita dilahirkan oleh ibu-bapa kita (dan bukannya ibu-bapa orang lain)? Makna kata di sini, kita sebenarnya tidak mampu memilih bagaimana keadaan diri kita serta ibu bapa kita sewaktu lahir. Makanya, ada orang yang lahir dalam kemewahan, dan ada orang yang lahir dalam serba kekurangan. Nah, bermula dari titik ini, ketidaksamatarafan sosio-ekonomi ditunjukkan dalam contoh sebegini. Sehubungan dengan itu, egalitarianisme—sebuah faham yang menyanjung keadilan sosial, juga sebagai salah-satu intipati dalam komunisme dan gerakan kiri, adalah untuk membawa perubahan, keseimbangan dan pembetulan kepada semua ketidaksamatarafan yang sedia wujud. Sekiranya ‘rompakan’ sepertimana yang diutarakan oleh Chodorov mengemukakan contoh pelanggaran hak alamiah kita untuk memiliki, makanya ‘rompakan’ kebebasan pemilikan juga berlaku dalam sistem kapitalisme, yakni para pekerja tidak memiliki apa yang diusahakan kerana mereka turut menjadi hamba kepada para kapitalis.



Berkman, yang memetik kata-kata ulung Pierre Joseph Proudhon, “Property is theft” mengulas lanjut kenapa upah (wage) tidak setimpal diberikan kepada pekerja, adalah kerana hanya kapitalis sahaja yang memiliki keuntungan, sebaliknya bagi para buruh, tidak. Buruh atau pekerja—yang kebetulan lahir dalam keadaan miskin—tidak terhenti kepada miskin harta material malah miskin aset abstrak seperti kemahiran dan kepandaian dalam sesuatu hal contohnya—akan tertutup peluangnya untuk mencari keuntungan. Dalam ertikata lain, tidak semua orang punyai peluang yang sama untuk berubah ke arah keadaan sosio-ekonomi yang lebih baik. Tidak semua orang punyai peluang yang sama untuk mencari apa yang wajar untuk diri mereka. Hal ini menjelaskan posisi yang diambil oleh para anarkis-komunis. Ini, adalah anarko-komunis, yakni anti-kapitalis pada dasarnya tidak bersetuju dengan ‘rompakan’ yang dijalankan oleh sistem kapitalis.

Kenapa perkara ini berkait dengan hak pemilikan sebagai salah satu hak alamiah? Ringkasnya, bagi para manusia hitam-merah, golongan kapitalis memiliki monopoli atas hak pemilikan hartanah dan perusahaan besar, adalah menjadi kepentingan kuasa mereka untuk menjaga perusahaan mereka daripada tergugat dek persaingan. Lagipun, para kapitalis yang lahir daripada golongan bangsawan, memiliki peluang yang lebih banyak untuk belajar memperoleh dan menjaga kuasa melalui aset mereka, tidak seperti golongan proletariat yang terhad peluangnya, atau yang paling parah, bahkan langsung tiada. Namun apa kaitannya segala pertembungan fahaman ini dengan cukai? Cukai—sepertimana yang kita telah nyatakan awal-awal tadi, tujuannya adalah untuk pengagihan kembali kemewahan secara amnya. Langkah ini adalah untuk mengelakkan golongan yang miskin daripada berterusan menjadi miskin disamping mereka perlu berterusan mencari jalan untuk keluar daripada kemelaratan tersebut. Di sini, kita bakal kembali kepada isu yang awal-awal tadi, yakni justifikasi kepada percukaian, iaitu faham utilitarianisme. Utilitarianisme, yang menganjurkan kebahagiaan tertinggi untuk jumlah tertinggi, sekaligus menganggap manusia ini secara keseluruhan, mempunyai keselarian dengan faham Marxian yang sebenarnya tatanan daripada buah pemikiran Aristotle, dimana kita memandang hakikat tentang kolektif sebenarnya adalah dirian daripada individu-individu. Dengan menjaga sejumlah besar individu, juga bermakna menjaga individu-individu tersebut sekaligus, dalam perihal hak, kebajikan dan sebagainya.


Meneliti kedua-duanya dari sumber am lain

Thomas Riha, berhujah dalam jurnalnya, ‘Right To Property’, bahawa sementara Hayek dan kelompok libertarian (istilah sebenarnya adalah free-marketeers) yang lainnya meyakini bahawa harta swasta berasal dari pemilikan umum (common ownership) dan mengaitkannya dengan sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan perkembangan ketamadunan, Friedrich Engels— iaitu sahabat baik Marx, dan beberapa orang lagi, telah mencabar hujah tersebut dari sudut tawarikh. Mereka yang sedemikian mencabar, terutamanya Engels berhujah bahawa ketamakan yang terang-terang telah menjadi semangat utama dalam ketamadunan sejak mula wujudnya ia sehinggalah sekarang, kekayaan demi kekayaan; kekayaan—dan bukannya masyarakat.


Sebelum wujudnya masyarakat yang bertamadun, pada awal keadaan semulajadi manusiawi yang dinamakan sebagai ‘state of nature’ oleh ahli-ahli teori kontraktualis, sebenarnya tidak ada perbezaan antara perseorangan dengan umum dalam bentuk kejadian sekaligus dalam bentuk harta. Lantas, menurut mereka, harta persendirian adalah sumber kepada segala kejahatan dalam sosio-ekonomi. Ianya adalah sumber kepada segala ketidakadilan. Bertitik tolak daripada hujah ini, makanya penghapusan sistem harta persendirian adalah sangat-sangat dialukan.

Dalam jurnal berjudul ‘Property Rights, Institutions and Economic Development: An Islamic Perspective’ catatan Dr. Abdel Hameed M. Bashir, agama Islam membenarkan pemilikan swasta selagimana ia sejajar dengan syariah—sebagaimana amalan ekonomi dan kewangan Islam tidak terikat dengan ruang pasaran tetapi didasari oleh fiqh (jurisprudence yakni sains perundangan) dan syariah. Namun, tak semudah itu—kerana awal-awal lagi Islam telah meletakkan had, misalnya pengharaman riba (usury) dan kewajipan zakat (istilah dalam bahasa Inggeris yang dipakai Dr. Hameed adalah alms dan boleh bertukar ganti dengan religious tithes). Quran, sebagai sumber perundangan termutlak buat Muslim, menyatakan bahawa segala kewujudan adalah hak milik Allah, dan menerusi konsep khilafah, manusia atas muka bumi ini memegang amanah untuk menjaga harta benda (al-Mal). Sekalipun Islam tidak melarang pemilikan dan disposisi ala kapitalis, namun Quran surah ke-57 ayat ke-7 yang bermaksud;

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.”

Makanya, ini menjelaskan kenapa manusia hanyalah disifatkan sebagai pemegang amanah dan perbelanjaan mahupun segala bentuk disposisi yang lain adalah suatu ujian kepada manusia tersebut ini sendiri dalam menilai tahap keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Hal ini dapat dicermati dalam;

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Quran, 6:165]

Dengan ini, saranan bahawa dengan menggunapakai harta benda sebaik mungkin adalah bertujuan mendapatkan pahala dan kejayaan (Virtues, al-Falah) sebagaimana menjadi suatu ibadat. Hameed yang memetik kata-kata imam al-Ghazali tentang objektif utama syariah adalah untuk menggalakkan kebajikan manusia menerusi penjagaan iman, hidup, daya intelek, keturunan dan harta benda. Lantas, apa sahaja yang menjaga kelima-lima perkara tersebut adalah bersifat menjaga kepentingan awam dan sangatlah dimahukan. Syariah juga bertujuan mencapai dua perkara dengan mendasari segala perolehan, pertumbuhan dan disposisi al-Mal yakni harta benda iaitu; Adl dan Ihsan. Adl, dalam konteks ini bermakna keadilan sosio-ekonomi, dan Ihsan, iaitu kebajikan bersama (mutual benevolence). Saranan ini dapat dilihat dalam;

“ Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” [Quran, 16:90]

Islam juga melarang pembaziran dan israf iaitu bermewah-mewahan sepertimana yang berikut;

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. [Quran, 17:27]

Melalui bermewah-mewahan, perkara sedemikian telah meluaskan jurang sosio-ekonomi dan dilihat sebagai fenomena yang tidak akan mewujudkan kerjasama antara kelas. Pembaziran juga dilihat sebagai sesuatu yang tidak efisien dan efektif.


Debat terulung tak berkesudahan

Meskipun, telah kita lalui perdebatan antara golongan yang berada di jauh hujung kedua-dua pangkal iaitu antara Von Mises, Lange dan Hayek, lalu berterusan masuk ke fasa baru yakni welfare economics dan new-marketeers, kita takkan mampu melepaskan diri darinya. Realitinya, dalam keadaan ekonomi campuran (mixed economy) sekarang, menurut ahli ekonomi neo-klasikal, negara (ya, benar-benar negara) telah menetapkan peraturan azalinya iaitu hak pemilikan harta (property rights) yang lantas memperhalusi struktur persaingan dan kerjasama ekonomi. Maka apa maknanya di sini? Maknanya isu hak pemilikan yang juga melibatkan cukai akan berterusan menjadi titik persoalan dalam falsafah ekonomi-politik.

Boleh sahaja kita meneliti pendapat Robert Le Fevre dalam ‘The Philosophy of Ownership’ khususnya dalam bab ke-5: Rights and Property, ringkasnya—salah-satu cara untuk memeriksa samada kita betul-betul memiliki hak atas satu barangan, adalah dengan memusnahkannya (right to destroy). Dalam undang-undang perniagaan, ini barangkali termaktub dalam right to dispose. Tentu-tentu sahaja barangsiapa yang pernah membaca pendapat Ayn Rand dalam novelnya yang berjudul ‘The Fountainhead’ yang membawa imej kekuasaan dan autoriti seorang kapitalis dalam mendisposisi harta bendanya, sekaligus menafikan kepentingan awam, apatah lagi menurut Marx—apa sahaja yang kita bina adalah milik kita sekaligus menolak konsep perolehan oleh individu.

Ayn Rand—seringkali dibenci, namun dia sentiasa akan punya tempat di hati Mises, sehinggakan Mises mengutus surat puji-pujian menyuarakan kekaguman padanya. Bagi Mises, novel ‘Atlas Shrugged’ tulisan dewi libertarian ala Amerika itu bukan sekadar novel, tapi adalah satu analisis kepada fenomena betapa ‘jahat’nya kerajaan dalam mencampuri urusan ekonomi masyarakat. Rothbard juga tidak ketinggalan dalam mengutus surat kepada Ayn Rand. Terang-terang Rothbard menyatakan lingkaran penyokong Bastiat sangat-sangat mengagumi kelantangan kritik Ayn Rand kepada segala bentuk totalitarian. Lantas—keadaan ini, sebenarnya suatu paduan kritik terhadap kerajaan yang sebenarnya sudah mula menjadi kapitalis dalam memonopoli perniagaan. Apakah benar? Padahal kalau ditinjau, kritikannya tidak datang daripada Mises, Rothbard, Ayn Rand dan yang lain sahaja tapi juga kelompok sosialis-komunis itu sendiri. Pendek kata, kelompok ini juga tidak menerima kerajaan. Siapakah mereka? Anarko-komunis tentunya. Rupanya mereka mengkritik perkara yang serupa juga pada suatu titik, makanya dengan ini, kita akan menekuni salah seorang pemikir agung kontemporari.




Sosialisme libertarian, salah satu cadangan

Noam Chomsky, seorang ahli falsafah dalam bidang linguistik, politik, ahli saintis kognitif, ahli logis, pakar sejarawan, adalah pemikir ulung kontemporari zaman ini. Lantas, kita barangkali mampu mempelajari sedikit sebanyak daripada Chomsky yang genius dan langsung melabel dirinya sebagai sosialis libertarian. Chomsky yang turut menyedari permasalahan asal, iaitu individualisme lawan komuniti, mencadangkan bahawa setiap pihak perlu berkompromi atau mencari ittifak kerana menurutnya, setiap individu yang berfungsi sebagai pengeluar, sebenarnya juga adalah pengguna—lantas, mereka perlu melibatkan diri dalam komuniti rundingan yang telah tersedia jalannya. Bagi Chomsky, kebebasan dan keadilan tidak saling esklusif bahkan sering hadir sekali. Maka dalam hal ini Chomsky tidak bersetuju dengan faham Marxisme-Leninisme yang disifatkan sebagai sosialisme autoritarian.

Chomsky tampak konsisten dengan mencadangkan kompromi, telah terbukti bahawa dia juga meletakkan posisinya dalam jalan tengah. Sepertimana catat Ostrowski, Chomsky benar-benar anti-kapitalis—namun dirinya juga seorang yang menolak Marxisme, Keynesianisme Fiskal dan sistem Protectionism. Maka, apa yang kita boleh pelajari dari Chomsky mengenai konsep pemilikan yang akhirnya menjelaskan tentang percukaian? Pemilikan—adalah sesuatu yang masih kabur bagi diri penulis, namun pemilikan swasta sememangnya ditentang oleh Chomsky. Baginya barangkali, pemilikan swasta akan menjurus kepada ketaksaksamaan dan hilangnya kebebasan, termasuklah kebebasan negatif mahupun kebebasan positif. Chomsky benar-benar mengambil pengajaran daripada kata-kata Mikhail Bakunin;

“Liberty without socialism is privilege, injustice; Socialism without liberty is slavery and brutality.”

Chomskyan sebagai jalan tengah. 

Jangan kita terlalu cepat menyimpulkan hanya kerana Chomsky menawarkan kompromi, bermakna dia seorang penyanjung ekonomi campuran. Sosialisme libertarian yang merupakan susulan daripada faham komunisme-anarkis tidak akan sekali-kali akur dengan sistem kapitalis. Jalan tengah dalam konteks ini, bermakna Chomsky sangat-sangat menghargai kebebasan dan potensi individu yang diutarakan Hayek dalam The Road to Serfdom, dan untuk menjaga kebebasan tersebut, kesaksamaan menerusi sosialisme adalah diperlukan baginya. Chomsky tidak bermula dengan persoalan apa yang wajar dan adil untuk manusia, tapi dengan menanyakan dalam keadaan apakah manusia mampu menyedari potensi sebenar setiap mereka sendiri dalam mencari apakah yang paling wajar dan adil. Pendekatan yang kurang abstrak—lantas lebih bersifat objektif, menyebabkan wujudnya keselarian antara harapan ala Hayek, iaitu potensi setiap individu yang unik untuk diutilisasi. Namun, siapa tahu apa jawapan Chomsky tentang percukaian yang menurut kelompok sekolah ekonomi Austrian akan memusnahkan liberty dan di satu pihak lagi, kelompok sosialis beranggapan percukaian adalah untuk membetulkan keadaan yang kurang adil.
Entah sampai bila akan terjawab.

Entahlah. Dan masih, si penulis ini, bekerja memikul barang bersama dengan para pekerja lain demi mencari rezeki, dan masih, diri ini, melihat air mata dan peluh mereka masih tercari-cari apa makna disebalik semua ini.


_____

Ditulis oleh: El Ferdowsi (Insight Circle). 26 Oktober 2012. Terengganu.
Si penulis, selain melabel dirinya sebagai post-Marxist, ia juga bekerja sebagai buruh tidak mahir di sebuah gudang barangan runcit. Penulis sanggup tidak beraya Aidil-Adha semasa menyudahkan catatan ini dan sekadar bertakbir di hadapan komputer.

Sumber rujukan:

Buku:

1. Al-Quran.
2. Sir Eric Roll. Sejarah Pemikiran Ekonomi, cetakan pertama 1995. Terjemahan daripada A History of Economic Thought, edisi ke-4 oleh Sir Eric Roll. Terjemahan oleh Adzman Shamsudin, Latifah Othman & Shamsiah Md. Said, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Alt, James E. & Chrystal, K. Alec, . Political Economics. Terbitan Wheatsheaf Books Ltd. 1983.
4. Berkman, Alexander. Now and After: ABC of Communist Anarchism
5. Chodorov, Frank. Income Tax: The Root of All Evil.
6. Hoppe, Hans-Hermann. Economic and Ethics of Private Property
7. Hayek, Friedrich A. The Road to Serfdom (edisi ringkas untuk Reader’s Digest April 1945)
8. Mises, Ludwig von. Economic Calculation in Socialist Commonwealth
9. Mises, Ludwig von. The Anti-Capitalistic Mentality
10. Rothbard, Murray N. The Myth of Neutral Taxation. The Cato Journal, (1981)
11. Le Fevre, Robert. The Philosophy of Ownership (1966)
12. _____ Business Law. Jabatan Undang-Undang UiTM Terengganu. Kredit untuk Wan Mardiana Wan Musa dan Siti Marina Amit.
13. _____Administrative Law. Jabatan Undang-Undang UiTM Terengganu. Kredit untuk Azahari Abdul Aziz.
14. _____Development Administration. FSPPP. Kredit untuk Jazimin Zakaria dan Hamdan Razali.
15. Surat kepada Ayn Rand O’Connor daripada Ludwig von Mises dan Murray Rothbard. Journal of Libertarian Studies (2007).

Jurnal:

1. Abdel Hameed M Bashir. Property Rights, Institutions and Economic Development: An Islamic Perspective. Humanomics vol. 18
2. Riha, Thomas J.F. The Origins of Private Property and Wealth in Post-Communist Society. International Journal of Social Economics, vol. 23. (1996)
3. Riha, Thomas J.F. Right to Property. International Journal of Social Economics, vol. 27 (2000)

Artikel:

1. Chodorov, Frank. Tax is Roberry. Daripada Out of Step: The Autobiography of An Individualist (1962) Mises Org.
2. Llewellyn H. Rockwell, Jr. Taxes and Distortions. March 1996. Mises Org.
3. Adams, Charles. Taxes in America. April 2000. Mises Org.
4. Young, Adam. The Origin of the Income Tax. 2004. Mises Org.
5. Thornton, Mark. Mininum Wage, Minimum Tax. 1996. Mises Org.
6. Ostrowski, James. Chomsky’s Economics. 2003. Mises Org.
7. Smith, George H. Jeremy Bentham’s Attack on Natural Rights. Libertarianism Org.
8. Edgley, Alison. Chomsky’s Libertarian Socialism (1999)
9. ___A History of Taxation. (1999) Taxworld Org.

Klip video:

1. ____Beyond State Socialism. Sebuah klip syarahan oleh Noam Chomsky sewaktu melawat Motmakt di Litteraturhuset di Oslo, Norway. 2011.

*Artikel ini turut dimuatkan dalam laman Insight Circle